BATU PAHAT 4 Dis. - Impian seorang anak posmen yang juga pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak kesampaian apabila dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam.
Allahyarham Muhammad Amirulariff Sazali, 17, yang merupakan pelajar aliran sains telah pun menduduki kertas peperiksaan bagi tujuh subjek dan hanya tinggal dua subjek lagi iaitu Kimia dan Biologi.
Namun takdir menentukan arwah perlu pergi menyahut seruan Ilahi pada pukul 4.15 pagi tadi di Hospital Batu Pahat (HBP) di sini, setelah dia menduduki kertas peperiksaan subjek Fizik di hospital itu kelmarin.
Allahyarham yang bergelut dengan penyakit ketumbuhan paru-paru disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung.
Walaupun terlantar kesakitan, arwah menggagahkan diri untuk terus menduduki SPM di hospital itu sejak 25 November lalu.
Arwah yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) merupakan anak kedua daripada enam beradik yang menjadi harapan keluarganya.
Menurut bapa Amirulariff, Sazali Marban, 49, anaknya merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya dan pernah menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.
Dia tidak menyangka sebaik sahaja azan maghrib berkumandang petang kelmarin, arwah tiba-tiba sesak nafas.
Menurutnya, doktor yang bertugas cuba memberikan rawatan kira-kira 20 minit dan memberitahu keadaan jantung anaknya lemah.
Tambahnya, doktor mengesahkan anaknya itu meninggal dunia pada pukul 4.15 pagi.
"Jenazah disembahyangkan di rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapis Ismail, Tongkang Pechah di sini pukul 10 pagi semalam.
"Walaupun sedih dengan pemergiannya, kami reda dengan apa yang berlaku," kata Sazali ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Sulong, Parit Sulong di sini.
Pada mulanya, menurut Sazali, arwah hanya mengalami batuk kira-kira tiga tahun lalu dan dia mulai lemah sejak itu.
"Arwah dihantar ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.
"Ketika itu, mata kiri dan tangan kanan arwah sudahpun bengkak dan saya menghantarnya ke HBP bagi membolehkannya mendapatkan rawatan dan menduduki SPM," katanya hiba
Sumber : Utusan
p/s : Arwah adalah rakan aku semasa di sekolah rendah..dah 5 tahun aku tak jumpa dia sejak aku melangkah ke sekolah menengah dan Arwah ke MRSM..tetibe semalam dapat berita dia dah takde......Al-Fatihah..
Sekali-Sekala Menulis, Mana Cukup Satu
1 week ago
1 comments:
:(:(:(
alfatihah
Post a Comment